Pada 29 September 2021 (Rabu), Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang telah menjalankan kerjasama bersama Panitia Bahasa Melayu Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat (SMKJP), Panitia Geografi Tingkatan 6 SMKJP serta jalinan bersama Sekolah Kecemerlangan Kluster (JSSK) di bawah Unit Program Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Pahang bertajuk Teroka Ilmu: Maklumat di Hujung Jari. Program ini berlangsung secara atas talian iaitu melalui platform Google Meet dan para pelajar didedahkan dengan maklumat terkini berkaitan pencarian maklumat melalui Google Scholar serta cara penyimpanan maklumat melalui Google Drive.
Perkongsian ilmiah ini seiring dengan Sustainable Development Goals (SDG) : SDG 4 (Quality Education) dan SDG 17 (Partnerships for the Goals) telah mendapat sambutan yang cukup meriah dengan kehadiran peserta seramai 85 orang pelajar dimana mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan 6 dan sedang berada di semester 1 serta turut bersama para pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat (SMKJP).
Sesi perkongsian ilmiah sepanjang Program Teroka Ilmu : Maklumat di Hujung Jari berlangsung
Program berbentuk ilmiah ini dikendalikan oleh Tn. Hj. Mohd Zaki bin Abdul Latiff, Penyelaras Jawatankuasa Sekolah Kluster Kecemerlangan (JSKK), UiTM Cawangan Pahang selaku moderator. Sesi ini turut disertai oleh dua orang pustakawan dari Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang (PUiTMCPh) iaitu Cik Muniratul Husna binti Mohamad Zaki, Pustakawan dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Raub serta jemputan khas Puan Nurfarawahidah binti Badruesham, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka selaku penceramah.
Sesi taklimat yang dikendalikan oleh Cik Muniratul Husna binti Mohamad Zaki melalui platform Google Meet
Program Teroka Ilmu : Maklumat di Hujung Jari juga dimeriahkan lagi dengan aktiviti kuiz atas talian yang dikendalikan oleh tiga orang pelajar latihan industri dari Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka iaitu Encik Muhd Aiman Muzzamil bin Muda, Cik Anis Shafika binti Ismail dan Cik Nur Aini Shafiqah binti Mazmi. Aktiviti kuiz atas talian ini dijalankan di penghujung sesi dengan menggunakan aplikasi Quizziz dan soalan yang ditanya adalah berdasarkan perkongsian maklumat daripada dua orang penceramah. Perkongsian ilmiah ini diharapkan dapat membantu para pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat (SMKJP) untuk mencari maklumat yang sahih dan tepat bagi tujuan pembelajaran serta dapat menguruskan pencarian maklumat tersebut dengan lebih sistematik.
Sesi kuiz bersama para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat